Assalamualaikum.
Pelakon lelaki dari Korea yang menukar jantina, Harisu diangkat apabila terbabit dalam produksi filem di negara ini, The Hunter. Hebat sangatkah Harisu? Agaknya kerana sekarang demam K Pop apa sahaja yang dari Korea akan diangkat melambung.
Mr. A tak kisahlah kalau kemasukannya sebagai pelakon undangan dalam filem itu akan membantu menambahkan kutipan tiket apabila ia ditayangkan nanti. Tapi kesian juga nasib insan sama dengan Harisu yang tidak mendapat tempat yang sama.
Mr. A masih terkenangkan kisah seorang lelaki malang yang meninggal dunia akibat mengalami kemurungan bila permohonannya untuk menukar kepada nama wanita setelah menukar jantina ditolak oleh mahkamah.
Mr. A bukannya nak membela dia, kerana keputusan itu memang mengikut peruntukan undang-undang yang ada. Kalau dah macam itu peruntukan undang-undang kita terimalah, tapi pandangan masyarakat yang membuatkan seseorang menjadi tambah tertekan.
Orang yang menukar jantina di sini sering menerima pandangan sinis masyarakat. Bukan sahaja masyarakat, malah keluarga sendiri juga tidak menerima mereka. Ada yang tidak mengaku si polan itu sebagai anak kerana malu apabila anak lelakinya kini bertukar wajah menjadi wanita.
Memanglah wajah anak itu juga bertukar sebab sana sini menerima suntikan susuk moden. Sampai bengkak-bengkak pipi dan dagu juga makin melonjong. Ada yang menakutkan juga kalau tersalah atau terlebih cucuk.
Bukan pasal itu yang nak Mr. A cakapkan, tapi pasal bidang senilah. Kalau pelakon lelaki kita melakonkan watak wanita, pasti kena kutuk, silap silap tak boleh tayang. Teringat lagi pasal Dee (Jangan Ketawa) yang pernah digam daripada muncul di kaca TV dengan penampilan wanita, padahal dia berlakon sahaja.
Ada juga dulu seorang model lelaki yang berjaya di pentas peragaan bila dah menukar jantina. Tapi sebab dia itu bukan wanita tulen, ada yang membuat onar sehingga terjejas rezekinya dalam bidang peragaan.
Lain pula halnya dengan si Harisu ini. Bila dia datang mempromosikan filem The Hunter, dirinya yang lebih jadi perhatian berbanding pelakon wanita tempatan yang sama-sama berlakon dalam filem itu, malah melakonkan watak yang lebih besar.










