TIDAK mandi seharian sahaja sudah menyebabkan badan berbau busuk
namun sebaliknya bagi seorang lelaki tua di Mumbai, India, Kailash
Singh. Singh tidak mandi selama lebih 37 tahun.
Dia juga tidak pernah memotong dua tocangnya yang sepanjang 1.82 meter sejak berkahwin pada tahun 1974.
Malah, bapa kepada tujuh orang anak perempuan itu mengatakan, seorang
guru agama Hindu memberi jaminan kepadanya bahawa dia akan dikurniakan
anak lelaki kalau melakukan perkara tersebut.
Malangnya Singh, 66, belum dikurniakan anak lelaki sehingga kini.
Akibat kedegilannya itu, isterinya Kalavati Devi, 60, pernah mengugut
untuk tidak mahu tidur bersamanya.
Tetapi memikirkan tanggungjawab sebagai seorang isteri, hasrat itu dipendamkan begitu sahaja oleh Devi.
Walaupun tidak mandi, Singh membasuh muka dan tangannya setiap hari.
Dia juga menggembala lembu dekat bandar Varanasi yang mencatatkan
suhu panas sehingga 47 darjah Celsius. Singh selalu menjadi mangsa
ejekan kanak-kanak di kampungnya akibat terlalu liat untuk mandi.
"Saya pernah memaksanya mandi tetapi dia melarikan diri seperti budak-budak.
"Malah, dia mengatakan dia lebih rela mati daripada mandi," cerita Devi.
Anaknya Pooja, 16, pula bersikap sebaliknya. Tabiat ayahnya itu menyebabkan dia popular di sekolah.
"Rakan-rakan sekolah sering ingin berjumpa dengan ayah bagi
mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana dia boleh terus hidup tanpa
perlu menjirus air ke tubuhnya.
"Pada mulanya saya memang marah dengan sikapnya tetapi dia bertegas
dengan pendiriannya. Dia enggan mandi sehingga dikurniakan anak lelaki,"
ujar Pooja.
300 kali
Jika Singh tidak mahu mandi, berbeza pula dengan seorang wanita bernama Julie, 40, yang bersikap terlalu pembersih.
"Saya merasakan diri tidak cukup bersih," katanya yang bekerja sebagai pembantu pentadbiran di ibu negara.
Sejak 20 tahun lalu, Julie akan mencuci tangan sebanyak 300 kali sehari dan mandi 25 kali sehari.
Secara keseluruhan, masa yang diambil wanita ini untuk mandi ialah
selama lima jam. Sebenarnya, Julie menghidap penyakit kecelaruan obsesif
kompulsif.
Mengikut sains perubatan, mereka yang mengalaminya akan bersikap terlalu pembersih dan antikotoran serta bakteria.
Menurut Julie, dalam tempoh seminggu, sebanyak dua botol pencuci
rambut serta 21 ketul sabun digunakan untuk dirinya seorang. Selain itu,
bayaran bil utiliti flat yang disewanya di Kuala Lumpur meningkat
setiap bulan.
"Selama 20 tahun saya mengalaminya iaitu sejak mula bekerja di makmal yang perlu mengendalikan darah pesakit HIV.
"Selepas bekerja di sana, saya seperti ketagih mencuci tangan," tutur Julie.
Dia pernah dibuang kerja kerana sering lewat ke tempat kerja akibat penyakit 'mahu mandi lama' itu.
Namun, kini dia sedang mengikuti kelas bagi membolehkannya mengawal nafsu daripada terus membersihkan diri.
Situasi sama dialami Howard Hughes, seorang jutawan Amerika Syarikat yang sering membasuh tangan sejak kecil.
Menurut rakan-rakan Hughes, dia juga akan memotong kacang yang
merupakan makanan kegemarannya menggunakan garpu khas kepada beberapa
bahagian kecil selain tidak pernah keluar rumah selama beberapa bulan.
Menurut pakar sakit mental dari Pusat Perubatan Universiti Malaya,
Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal, penyakit ini disebabkan perasaan takut
yang keterlaluan.
Ujarnya, tindakan itu boleh mendorong kepada simptom fizikal seperti
sesak nafas dan jantung berdegup kencang sebelum menjurus kepada sakit
dada manakala tangan dan badan menggeletar.
Fobia ini lebih banyak menyerang wanita berbanding lelaki.
"Banyak faktor yang mempengaruhinya, antaranya peristiwa yang dialami
seseorang semasa kanak-kanak, keturunan, panik yang melampau atau
tekanan yang sedang dihadapi.
"Tetapi mungkin ramai pesakit yang tidak berjumpa doktor menyebabkan
kelakuan ini berubah menjadi lebih buruk kerana tidak diubati lebih
awal," katanya yang menegaskan pesakit boleh menjadi gila jika tidak
dirawat.
Namun, banyak pendekatan yang boleh digunakan untuk memulihkan
penyakit ini. Antaranya dengan mengambil ubat-ubatan secara berkala
selain mengajar mereka mengawal perasaan fobia itu.
"Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan pesakit mental, jarang
sekali menemukan kes seperti ini. Tetapi mungkin ramai yang tidak
mengetahui mereka sebenarnya sedang menghidap sejenis penyakit," tutur
Zuraida. - Agensi















